.:ASSALAMUALAIKUM:.
"...satu, dua tiga lekuk...jantan betina aku ketuk..."
Demikianlah persembahan adik Muhammad Firdaus Bin Abdul Halim, wakil dari TADIKA KEMAS Kem Syed Putra, Ipoh dengan tajuk ceritanya Sang Kancil dan Buaya versi sedih.
Gamat seketika dewan besar Pusat KEMAS Ipoh. Masing-masing ketawa sendirian. Ada juga sibuk mengambil gambar. Ada juga yang merenung sinis. Satu bahagian penjuru pula sibuk menundukkan muka. Namun, masih tiada tanda-tanda ada orang bersimpati dengan cerita sedih aku.
Aku pula. Masih tercegat di atas pentas. Penat mendalami cerita. Penuh emosi. Sedang teresak-esak bagaikan hilang barangan berharga. Jenuh mengesat air mata. Makin laju melimpah. Ya Allah, sedihnya cerita Sang Kancil dan Buaya ini.
Argh!! Abaikan mereka yang ketawa. Biarkan mereka yang menangkap gambar. Tumpukan pada mereka yang masih menunduk itu. Barangkali masih bersama-sama aku menghayati cerita sedih ini.
Ya! Aku sudah punya kekuatan. Kekuatan untuk meneruskan cerita ini. Mana mungkin aku sekadar berhenti di sini walaupun si peneraju acara begitu bersungguh mahu aku melepaskan microphone. Lantas, aku teruskan bait-bait cerita ku. Kadang kala bersulam duka. Masih menghayati barangkali.
Bukan senang mahu menjejak kaki di pentas negeri ini. Pertama dalam sejarah. Seawal usia 6 tahun sudah mampu berucap di khalayak ramai. Penuh dengan perasaan. Bak emosi yang terperangkap dilepaskan semuanya. Laju bertabur air mata aku. Seakan-akan tidak mahu berhenti.
Imbas kembali ceritanya...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..Terima Kasih kepada Pengerusi Majlis. Saya Muhammad Firdaus Bun Abdul Halim akan menyampaikan sebuah cerita berjudul Sang Kancil dan Buaya.
Pada suatu hari, terdapat seekor kancil sedang bersiar-siar di tepi sebatang sungai. Tiba-tiba dia ternampak sebatang pohon rambutan yang masak ranum. Dia teringin hendak memakan buah itu.
Namun begitu, pohon rambutan itu berada di seberang sungai. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyeberang sungai itu. Tambahan pula, di sungai itu terdapat banyak buaya. Tiba-tiba, dia mendapat satu idea. Sang kancil pun menjerit.
"Wahai sang buaya, aku telah mendapat perintah dari Raja Sulaiman untuk memberi kamu makan. Namun begitu, aku perlu mengira bilangan kamu dahulu. Kamu hendaklah beratur sehingga ke tebing seberang sana"
Sang buaya pun menuruti arahan dari Sang Kancil. Lantas, sang kancil pun mula memijak belakang sang buaya satu persatu.
"Satu, dua, tiga lekuk..jantan betina aku....err...errr...satu dua tiga errr...errrr...errrrr"
Allah! Apa sambungannya?? Lantas, cemas mula berlari di dalam badanku. Terasa seolah-olah beratus-ratus bola mata sedang merenung tajam. Otak pula ligat mengingat kembali bait-bait yang hilang.
"..satu, dua, tiga, empat, lima...err..errr...buaya..err..aku..."
Arghh!! Bagaimana bisa lupa pada sambungan rangkap keramat ini. Mataku terus melilau. mencari bantuan disebalik renungan-renungan tajam mereka. Alhamdulillah, sudah ternampak kelibat jurulatih aku. Mampu mengukir secebis senyuman tatkala melihat sinar pertolongan itu.
Ya Allah! Bantuan apakah ini. Mulut nya seakan-akan mengisyaratkan sesuatu. Barangkali sambungan dari rangkap keramat itu. Namun, mengapa perlu dijegilkan mata yang besar itu. Gerun. Ya! Aku cukup gerun melihat jegilan itu. Seakan-akan mahu menyebat aku beratus kali atas kesalahan terlupa sambungan rangkap keramat.
Aku masih di atas pentas. Kaku. Keliru. Serabut. Cemas. Dan, aku juga sudah tidak tahan mengekang air mata dari mengalir. Aku sudah tidak punya pilihan. Terpaksa aku lepaskan air mata aku bertabur. Mencari ketenangan dalam ketakutan barangkali.
Dewan pula tergamam. Sunyi seketika. Terkejut dengan reaksi spontan aku. Sebentar tadi tersenyum riang. Dan kini menangis sakan. Seketika kemudian, ketawa mula kedengaran. Makin ramai ke hadapan menangkap gambar aku. Terasa seolah-olah bintang popular. Terasa seolah-olah berjaya menghayati cerita.
Walau sekadar cerita Sang Kancil dan Buaya, aku mampu untuk menitiskan air mata di atas pentas. Walau bukan kerana menghayati cerita, sekadar terlupa beberapa bait ayat-ayat keramat, namun, soalnya aku mampu untuk menangis di atas pentas.
"...Demikianlah cerita dari...."
Kejap!
Cepat aku memintas. Mana mungkin aku bisa menamatkan perjuangan aku hanya kerana aku terlupa bait-bait keramat itu. Itu bukan sifat seorang pejuang. Aku masih punya kekuatan. Ketepikan mereka yang ketawa. Abaikan mereka yang sibuk mengambil gambar. Aku perlu berjuang kembali untuk mereka yang bergelar keluarga yang sedang tunduk. Tunduk malu barangkali. Namun, masih kekal tidak berganjak dari kerusi mereka. Masih memberi sokongan.
Ya! Aku tidak bisa mengalah. Alhamdulillah, aku sudah bisa kumpul kekuatan untuk meneruskan pertandingan.
"Ya!! Satu, dua, tiga lekuk, jantan betina aku ketuk"
Seisi dewan kini gamat dengan tepukan. Tepukan untuk seorang pejuang barangkali. Penuh dengan sorakan kegembiraan. Aku sudah punya kekuatan itu. Kekuatan yang telah menjadi aku seperti aku kini. Kekuatan untuk terus berdiri utuh di hadapan orang. Berdiri untuk terus menyampaikan apa yang aku rasa perlu untuk dikongsi.
***
Sekadar berkongsi kenangan 15 tahun dahulu. Kenangan yang memberi pelbagai pengalaman. Pengalaman yang membawa aku untuk terus berdiri. Berdiri walau dicaci. Tetap utuh berdiri walau keseorangan di hadapan. Kenangan yang mengajar aku erti "keseorangan". Walau sekadar keseorangan di atas pentas, namun, itu sudah cukup untuk mengingatkan aku, Allah sentiasa bersama kita.
Dan kenangan ini juga yang memberanikan aku untuk terus berdiri di atas mana-mana pentas. Kerana aku yakin, aku bisa untuk menyampaikan walau sekadar sebuah cerita rakyat. Aku percaya, ilmu makin dikongsi makin lebat ia bercambah.
Mungkin ada orang bersuara, mengapa perlu membuka aib untuk dicerita. Bagi aku, ini adalah sebahagian cerita aku. Dan aku punya hak untuk berkongsi dengan kalian. Kerana kenangan ini telah membawa kepada sinar-sinar kejayaan dalam hidup aku.
***
"Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk"
sambil mengetuk kepala buaya sehingga sang kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata
" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada makanan yang akan diberikan oleh Raja Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Sang Kancil pula terus melompat kegembiraan dan terus meninggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.
***
Contest Dr. Siti Hamidah dot com
Ingin menjemput dan mempersilakan Hafiz Hafizol, Atiq Salleh, Fatiah, Ain, Juliet, Syapiq untuk bersama-sama aku mengimbau kembali kenangan-kenangan kita ^_^
3 comments:
kene tag ke.?? huhuhu.. kalo sempat saya buat ye
En Bos, Tahniah berjaya menghabiskan cerita, berjaya mengatasi gugup@gementar di atas pentas dengan jayanye
Alhamdulillah....waa, akhirnya budak hebat niey dapat habiskan cerita beliau... tahniah dari saya seorang sahabt...wee~~~
erk?tu bukan ain shohor kan...h0h0
Post a Comment