Monday, August 22, 2011

...Renungan Ramadhan 22...


Renungan Ramadhan 22

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadhan.
Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia dari api neraka. Peluang untuk
bebas dari api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan siksa
api neraka yang disebutkan oleh Allah:

“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya
mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi
minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah
minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.”
(surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas dari api neraka.
Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai
sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan
kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada di bulan Ramadhan.
Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan
sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya
kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah),
yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah
kamu kerjakan".
(surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini,
Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia
kita di mukabumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian
dalam bulan mulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan
yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya. Sesungguhnya manusia akan
mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan
menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal
berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda: Tiga perkara mengiringi jenazah;
dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang
mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum
kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya.
(hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik
kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu. Mereka juga
akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga
bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal
hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:

Dari Abu Hurairah bahwa Nabi (saw) bersabda: Di antara amalan dan kebaikan yang
akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan
disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya,
masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang
digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu
terus menghubunginya setelah dia meninggal.
(hadis riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita di bulan
Ramadhan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita
menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadhan ini,
marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja
kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan didiklah anak-anak kita agar mereka nanti
bakal mendoakan kita apabila amalan lain kita telah terputus. Semoga dengan itu, Allah
memberi rahmah, keampunan dan seterusnya membeaskan kita dari azab api neraka.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob



Sunday, August 21, 2011

...Renungan Ramadhan 21...


Renungan Ramadhan 21

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Perang Badar begitu signifikan bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya
dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran “ ahli Badr”
disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga
Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah
yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi
menakluk Makkah. Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang
ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : 

“Lakukanlah apa yang kalian
kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”.
(hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:

Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang
ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di
kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut
menyertai Perang Badar”.
(hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang
begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah
berupa pertolongan langsung dari para malaikat:

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya
bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu
malaikat yang datang bertutut-turut".
(surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam.
Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada
Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk bekorban
demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya.

Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera
yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi
dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera
Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang
dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama
tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa:
"Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal
menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu
akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu
tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadhan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah
kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi
untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan
ciri ahli Badar.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob




Saturday, August 20, 2011

...Renungan Ramadhan 20...


Renungan Ramadhan 20

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadhan.
Seperti kita lihat dalam Siri ke 18 dan 19, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti
kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi
langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia
kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat
sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan
Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi
pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha
menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan
sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada
17 Ramadhan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam
sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.

Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya
kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan
tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah sematamata.
Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan
jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada
selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan
bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang
tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313
orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor
unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan kenderaan tersebut.
Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):


Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesomobongan untuk
menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu.


Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan
yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-
Mu!”


Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut
mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak
semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa
banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan
izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar".
(surah al-Baqarah: 249)


Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu
berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera
Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar
Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang
gugur sebagai antara syuhada’ pertama.


Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima
pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan kepada
mereka.


Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui
mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting,
paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan
gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya
hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah
kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.



p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob

Friday, August 19, 2011

...beduk, mercun dan tadarus...

....EDISI MERCUN [PART 1]....

Masa abah kerja Askar dulu, jarang dapat maen mercun. Sebab masa tu duduk dalam Kem Askar. Kalo maen gak, konpem aku jadi mercun lepas tu. Lagi satu, abah garang. Tegas. Ala2 Sarjan Misai tuh. Kawan2 aku kat sna gak sume dilatih dan dididik untuk tidak bermaen mercun. Kalo maen pun, maen bunga api. Tu pun kena menapak kat padang. Takleh maen depan umah sebab banyak kereta. Ktorg didoktrin yang kalo maen mercun kat depan umah, nanti kereta terbakar..tak leh raya.


So, aku paling suka bila tyme balik kampung belah mak aku. Sebabnya, Pak Su aku yang melatih ktorg agar berani bermain mercun. Tapi, ktorg maen tyme abah g Terawih. Aku ngn sepupu2 aku "Terawih" kat umah. hahaha.. Selalunya, lepas Solat Isyak, aku ngan sepupu2 aku kena pasang pelita. Lepas pasang pelita, ktorg men bunga ap ngn aci nyorok. Lepas Pak Su aku balik Terawih (dia kata dia wat lapan), baru ktorg maen mercun. Mercun Roket, Mercun Telur Naga, Mercun Papan, Mercun Mancis, Mercun Gasing. Tyme kecik2 tak berani ag nak men mercun bola..bahaya!!

Bila dah besar sket, Pak Su aku dah kawen, ktorg dah tak maen mercun. Aku lak dah pindah kat tempat tinggal skang. Kat Lorong aku ni, kebanyakkannya sebaya ngan aku, so, sekepala la. Selalunya Terawih g jenguk muka kat ayah aku, pastu balik sebab nak maen Galah Panjang, Nyorok2, Jengkit2 mcm 2 ag la. Sah2 gak mercun pun tersenarai. Tapi ktorg tak men mercun depan umah, sebab nanti kena marah ngn Pak Haji (garang o0oo) dan Mak aku (ustazah tuh). So, ktorg g ladang sawit g maen kat sna. Kat surau pun ktorang tak cucuh. Yer la, bak kata kawan aku, yang g surau sume orang2 tua, kang tak pasal2......(sambung sendiri)

Tapi skang, dah besar dah tak maen. Malas. Rasa cam bodoh je maen mercun..haha. Skang tengok bebudak maen mercun je. Tapi bebudak skang amat kurang ajar. Depan umah dorg baling mercun, bawah kereta dorang cucuh mercun, tepi surau dorang lempaq mercun.  Lagi marah lagi galak dorang maen. Tapi depan umah aku mmg takkan ada orang maen. Sebabnya mak aku akan kejar budak yang baling mercun depan umah. So, dorang memang takot. Padan Muke!


Maen bunga api dah la..selamat..

JANGAN MAEN MERCUN. BAHAYA!!

p/s: Teringat masa duk Sungai Buloh, ada letupan/kebakaran terbesar Stor mercun. Dekat je ngn umah aku
p/s/s: Tokwan aku masuk Hospital, doakan dia sehat ye.
p/s/s/s: Aku demam. Sekian ^_^

....EDISI MERCUN [PART 2]....

...Renungan Ramadhan 19...


Renungan Ramadhan 19

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadhan di Gua
Hira’ merupakan titik tolak penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula
dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna yang mendalam.
Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran
secara beransur-ansur.

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada
manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.”
 (Surah al-Isra’: ayat 106)

Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana Dia
Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil,
tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu
istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepad/daripada Allah melalui
Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan. Tamadun Yunani,
Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya
tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang
kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan
cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.
Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak
perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas
yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman
cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang
yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang
meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut,
sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang
sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai
bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama,
‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi
nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka
menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri
kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita
dapat mengembalikan tamaddunnya yang gemilang.
Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membuat tekad dan azam
untuk membaca al-Quran, Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan
Ramadhan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan,
tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk
mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang
diberikan di dalam Renungan Ramadhan 17, semoga Allah merahmati kita.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob


...Renungan Ramadhan 18...


Renungan Ramadhan 18

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah di bulan Ramadhan.
Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam di bulan Ramadhan, ketika Nabi
(saw) sedang bertahannuth di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda
membaca.

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan
manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang
mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
(surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering
membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang
mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu
salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam
almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu
pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat
besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah
peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung, Maha Perkasa
dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya
yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir
cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir
memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan
melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdialan kita sebagai
manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam
Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang
berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat
Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan
secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (care)
terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan
dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat
kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi
(saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum,
peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani.

Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.
Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang
mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir
dengan kewafatan Nabi (saw).

Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan
Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang
sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau
menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa
berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi
aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!”
Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis.
(hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu
Ilahi.

Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai
wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam
mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob


...Renungan Ramadhan 17...


Renungan Ramadhan 17

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadhan; bahkan sepanjang hidup
kita seharian.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan
kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.

Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa prasyarat
asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan
kita hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.

Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ia adalah
kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia
adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya
menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia
fana ini.

Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima
petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai
keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa
yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan
diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, untuk
menunjuk-nunjuk, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuknunjuk,
maka sekadar itulah yang kita akan dapati.

Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan
besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran
yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan
pengajaran yang terkandung d dalam ayat-ayatnya.

Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setaiap ilmu dan petunjuk
yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima
segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang
kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di
dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-
Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya,
maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh
membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu
mengenai itu.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang
kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang
tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha
memalingkan kita dari cuba mamahami dan mengahyati ajaran-ajaran yang terkandung di
dalam al-Quran.

Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala
yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah
al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca,
memahami dan memperolehi hidayah darinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita
memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob



...Renungan Ramadhan 16...


Renungan Ramadhan 16

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini
ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab
doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”.
(surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk
bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadhan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa.. dan kitab
al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al-Quran ialah
petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan
ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di
dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat
manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).”
(surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadhan menjadi
kian jelas.

Dalam hadis yang telah di sebut di dalam Renungan Ramadhan 15 juga tertera bukti
bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadhan.

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu
budaya harian kita di bulan Ramadhan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh
mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali di bulan Ramadhan. Dan
alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain
Ramadhan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat
suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca
beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk
kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan kuantiti tetapi juga kualiti bacaan
kita. Kita perlu memnjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum
tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur. Allah berfirman:

“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan
yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya”
(surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:
“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”.
(surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari
sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr :

“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku
berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah
dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”.
(hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari.
Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam
dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejar-kejaran sehingga
menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk
berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan ini.

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob


...tq...

...mengarut...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...