Renungan Ramadhan 18
Assalamu alaikum warahmatullah,
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah di bulan Ramadhan.
Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam di bulan Ramadhan, ketika Nabi
(saw) sedang bertahannuth di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda
membaca.
Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan
manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang
mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
(surah al-Alaq:1-4)
Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering
membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang
mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu
salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam
almari atau di atas rak mengumpul debu.
Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu
pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat
besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah
peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.
Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung, Maha Perkasa
dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya
yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir
cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir
memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan
melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.
Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdialan kita sebagai
manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam
Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang
berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat
Penyayang Allah.
Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan
secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (care)
terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.
Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan
dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat
kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi
(saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum,
peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani.
Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.
Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang
mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir
dengan kewafatan Nabi (saw).
Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan
Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang
sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau
menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa
berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi
aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!”
Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis.
(hadis Riwayat Muslim)
Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu
Ilahi.
Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai
wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam
mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.
p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob
No comments:
Post a Comment