Friday, August 12, 2011

...Renungan Ramadhan 12...


Renungan Ramadhan 12

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu solidariti umat seperti kita telah bincangkan di dalam Renungan
Ramadhan 10.

Ramadhan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan,
seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di
dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota
mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan
berjaga malam dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh
dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat sentiasa
mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. 

Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai. Sebahagian mereka
tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari. Sebahagian tidak mempunyai
bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup
aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak,
keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan..
Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang
masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia
mencintai untuk dirinya sendiri.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai
sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk
sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti
Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan MERCY ada
menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka.

 Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadhan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para
Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga."
(hadis riwayat Muslim dan Termizi)

p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob



No comments:

...tq...

...mengarut...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...