Saturday, August 20, 2011

...Renungan Ramadhan 20...


Renungan Ramadhan 20

Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadhan.
Seperti kita lihat dalam Siri ke 18 dan 19, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti
kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi
langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia
kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat
sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan
Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi
pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha
menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan
sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada
17 Ramadhan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam
sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.

Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya
kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan
tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah sematamata.
Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan
jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada
selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan
bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang
tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313
orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor
unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan kenderaan tersebut.
Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):


Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesomobongan untuk
menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu.


Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan
yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-
Mu!”


Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut
mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak
semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa
banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan
izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar".
(surah al-Baqarah: 249)


Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu
berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera
Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar
Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang
gugur sebagai antara syuhada’ pertama.


Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima
pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan kepada
mereka.


Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui
mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting,
paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan
gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya
hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah
kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.



p/s: dicopy dari Renungan Ramadhan tulisan Dr. Hj. Omar bin Yaakob

No comments:

...tq...

...mengarut...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...