Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekalung aprisiasi kepada Cik Aimaa Shameera selaku pengacara majlis, Yang di Hormati, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana dari Laman Muslimah Optimis. Seterusnya sidang pembaca yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah, saya diberi kesempatan dan kekuatan untuk menghadirkan diri dan jiwa saya bagi menyertai MO NAK BAGI HADIAH. HANYA BUAT ENTRY "AKU INGIN BERUBAH"
Sidang pembaca sekalian,
Saya tertarik kepada satu firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd ayat yang ke 11, mafhumnya;
“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu
sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….”
Apabila ditanya tentang "berubah", saya amat yakin bahawa setiap dari kita mempunyai senarai perkara-perkara perubahan yang mereka inginkan. Saya juga tidak terkecuali. Saya juga adalah diantara mereka yang mempunyai niat untuk berubah.
Sebenarnya, apa itu "berubah". Dari segi bahasa, berubah adalah satu kata kerja yang melambangkan tindakan yang diambil untuk melangkaui tindakan-tindakan yang biasa dilakukan. Dalam bahasa mudahnya, berubah adalah untuk menjadi lebih baik atau lebih buruk dari sebelumnya. Sebagai contoh, seorang anak yang baik berupaya untuk menjadi seorang anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Ini adalah perubahan yang buruk. Namun, anak itu juga mempunyai kecenderungan untuk menjadi hamba Allah yang soleh. Ini adalah contoh perubahan yang baik.
Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
Jika ditanya kepada saya, apakah perubahan yang saya ingin lakukan. Secara normalnya, saya akan menyenaraikan beberapa perubahan-perubahan yang saya sekadar impikan untuk dilakukan. Sebagai contoh, setiap pagi, apabila bangun dari tidur, saya akan berfikir bahawa hari ini saya ingin berubah untuk menjadi seorang pelajar yang produktif di dalam kelas. Namun begitu, apabila di dalam kelas, saya tetap menjadi seorang pelajar yang biasa. Maka, saya tidak berupaya untuk menunaikan perubahan itu.
Seperti yang saya katakan, terlalu banyak impian-impian tentang perubahan yang saya ada. Namun, saya baru sedar betapa selama ini, saya hanya "ingin" berubah. Dalam erti kata lain, saya sekadar mengimpikan sesuatu perubahan itu berlaku. Kesannya, saya tidak berusaha untuk merealisasikan perubahan-perubahan yang sepatutnya diperlukan dalam diri saya.
Oleh itu, sidang pembaca sekalian, saya mempunyai satu perubahan yang saya perlu lakukan untuk mencapai perubahan-perubahan yang saya inginkan. Saya perlu berhenti mengimpikan perubahan, sebaliknya saya perlu bertekad dengan seupaya mungkin untuk merealisasikan perubahan-perubahan itu. Inilah perubahan yang saya inginkan.
Mungkin, rakan-rakan pembaca masih belum jelas dengan perubahan saya ini. Biar saya perhalusi di sini. Selalunya, saya sekadar meletakkan impian untuk berubah. Oleh itu, usaha saya untuk mencapai perubahan itu hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Kesannya, sudah banyak perkara yang saya perlu berubah, namun, kebanyakkannya tergendala.
Maka, dengan itu, saya ingin berubah dari sekadar menjadikan perubahan itu suatu impian dengan berusaha semampu mungkin untuk berubah. Kerana dengan ini, saya amat yakin dan percaya, perubahan-perubahan yang tergendala akan menjadi realiti satu hari nanti. Sesungguhnya, usaha itu tangga kejayaan.
Sidang pembaca yang dikasihi sekalian,
Sebelum saya mengakhiri kalam saya, saya tertarik dengan satu ungkapan;
"The man that decided to change on the 12th hour dies on the 11th"
Maka, dengan ini, saya mengajak rakan-rakan pembaca sekalian untuk bersama-sama dengan saya, berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan perubahan-perubahan yang kita inginkan. Orang yang berfikir untuk berubah itu adalah orang yang berjaya. Namun, orang yang berusaha untuk berubah adalah orang yang beruntung. Berubahlah sementara kita masih mempunyai kesempatan.
Hari ini mesti lebih baik dari semalam.
Sekian, Terima Kasih. Assalamualaikum.
2 comments:
berubah ke arah kebaikan... insya Allah.. (^_^)
wahhh.. masa MO bac maca terdengar suara pidos bagi syarahan pulak..hihi.. yup berubahalah menjadi lebih baik dan pastikan hari ini adalah leih baik dari semalam.. :-D
terima kasih ya sudi join..sebarang updte akan dimaklumkan di Laman MO..tq
Post a Comment